Monday, 14 March 2011

Prof. Teo Kok Seong:Salasilah orang Melayu, keterbukaan 1Malaysia

More on Tanah Melayu and its importance to Malaysia written by Prof. Teo Kok Seong  which appeared in Berita Harian recently courtesy from the good folks at Satu Sekolah Untuk Semua:

"Dengan latar sejarah yang sebegini jelas keMelayuannya, bagaimanakah Semenanjung tidak boleh dikaitkan lagi dengan nama Tanah Melayu pada masa kini khususnya dalam Gagasan 1Malaysia?
Gagasan 1Malaysia yang walaupun menganjurkan keadilan sosial yang memastikan keterlibatan semua kaum, tidak boleh sekali-kali ditafsirkan dari segi kenegaraan, khususnya mengenai salasilah negara ini sebagai betul-betul satu fenomena moden yang langsung tidak mahu mengambil kira sejarah lampau.
Penolakan unsur kesinambungan antara bentuk sebelum moden dengan yang moden oleh sesetengah pihak, yang menganggap nama Tanah Melayu itu tidak sesuai lagi digunakan pada masa ini, khususnya dalam pembentukan bangsa Malaysia dan negara moden Malaysia itu sendiri, adalah bukan saja sikap buruk. Tetapi yang lebih mudarat lagi ialah kesan buruk yang boleh timbul daripada sikap ini yang menafikan sejarah lampau negara ini sebagai jajahan Melayu."


Professor Teo Kok Seong - 2011/02/16
Pembentukan bangsa Malaysia perlu berasas sejarah lampau
KOMEN bahawa negara ini kepunyaan kaum Melayu dan kaum bukan Melayu perlu menghormati kekuasaan Melayu, kedengaran lagi. Secara umumnya, komen ini atau lebih tepat lagi hakikat ini tidak disenangi sesetengah pihak dalam kalangan bukan Melayu. Sehubungan itu, Semenanjung Malaysia yang sebelum ini dikenali dengan nama Tanah Melayu, bagi mereka ini adalah nama geografi semata-mata dan wujud dalam konteks sejarah lampau saja. Mereka mendakwa nama ini tidak relevan lagi dalam konteks zaman moden ini, lebih-lebih lagi dalam Gagasan 1Malaysia.
Politik, yakni pendapat dan kepercayaan mengenai salasilah negara ini, khususnya Semenanjung, yang berbeza-beza sepatutnya tidak timbul lagi, khususnya pada masa ini, selepas negara merdeka sejak 54 tahun lalu. Penduduk asal dan dominan rantau ini dan Malaysia, Indonesia dan Filipina sebagai wilayah terasnya, dulu, sekarang dan selama-lamanya adalah dihuni dengan dominannya oleh rumpun yang dikategorikan sebagai Melayu.
Oleh sebab alam Melayu lebih menerima budaya luar daripada memantapkan budaya sendiri pada era awalnya, mereka ini menganggap perkembangannya sebegini yang banyak dipengaruhi reaksinya terhadap pertembungan dengan budaya luar, khususnya di Semenanjung sebagai wilayah yang tidak mempunyai dasar Melayu yang kuat. Justeru, ia tidak boleh dipanggil Tanah Melayu.
Tidak dapat dinafikan pertembungan dengan India adalah banyak sekali sehinggakan ia meninggalkan kesan budaya dan politik yang besar di rantau ini. Ia dapat dilihat pada pengaruh Hindu dalam struktur sosial dan politik alam Melayu. Sehubungan ini, bawah pengaruh Hindu, ketua dalam masyarakat Melayu feudal dijadikan raja, yang takhtanya diwarisi. Kosa kata bahasa Melayu ikut diserapi kata Sanskrit.
Walau bagaimanapun, pengaruh Hindu ini tidak sekali-kali menguasai struktur asas masyarakat Melayu, sama ada yang bersifat politik mahupun sosial. Pengaruh Hindu ini adalah lapisan budaya semata-mata dan tidak pun mengubah struktur feudal masyarakat Melayu dulu dalam apa jua cara. Ia masih wujud dengan utuh dalam tata tingkat raja dan rakyat.
Islam tiba di rantau ini pada abad 11 dan didapati sudah bertapak dengan mantapnya pada abad ke-13. Pada masa itu, Pasai dan kemudian Aceh di Sumatera menjadi pusat penyebaran Islam yang masyhur. Walaupun Sumatera Utara adalah pusat pengajian Islam di Asia Tenggara pada bahagian awalnya, sesungguhnya Melaka adalah pusat di mana Islam tersebar ke seluruh alam Melayu kemudian.
Sehubungan pengaruh Islam yang kuat di rantau ini melalui Melaka, ia menjadi pelabuhan yang dikunjungi pelbagai jenis pedagang. Walaupun banyak bahasa dituturkan di sana, bahasa Melayu ialah lingua franca yang paling banyak digunakan. Ia digunakan untuk tujuan komunikasi bukan saja antara penduduk tempatan dengan pedagang, tetapi sesama pedagang asing dari segenap pelosok dunia.
Walaupun Melaka ditawan Portugis pada 1511, Kerajaan Melaka tidak terus lenyap. Sehubungan ini, seluruh empayar Melaka diperintah dari Johor sehingga ia dan lain-lain ditakluk Aceh. Dengan ini, seluruh Semenanjung Malaysia berada di bawah kuasa Aceh, kecuali Melaka yang diperintah Portugis dan kemudian Belanda.
Kekuasaan Aceh diakhiri dengan penaklukan Bugis pada abad ke-18. Penaklukan Bugis dari Sulawesi ini berlaku dalam bentuk halus. Mereka tidak sekali-kali menggulingkan pemerintah di Semenanjung. Yang dilakukan ialah mereka menguasai beberapa negeri dengan meresapi struktur politik yang sedia wujud, melalui naungan di sebalik takhta. Antaranya ialah Kedah, Perak, Pahang dan Johor. Hanya di Selangor, mereka berjaya menduduki takhtanya.
Kemunculan dan kejatuhan kekuasaan Aceh dan Bugis ini sebetulnya memperlihat bangun jatuhnya pusat kuasa watan alam Melayu, khususnya di Semenanjung. Sebaliknya, kehadiran Portugis dan Belanda perlu dilihat sebagai semata-mata campur tangan di Melaka saja dan kawasan berdekatan. Di luar Melaka, di Semenanjung dan seluruh Nusantara, tamadun Melayu terus berkembang tanpa sebarang pengaruh Barat yang signifikan.
Melaka adalah Kerajaan Melayu pertama untuk tempoh 1402-1511, sesungguhnya adalah kemuncak tamadun Melayu dalam alam Melayu. Selepas tempoh ini, ia berpindah ke Johor. Dari sinilah pengaruh dan kekuasaan Melaka terus berkembang ke seluruh Semenanjung dan di pantai timur Sumatera.
Menjadi kesalahan besar untuk menganggap era kekuasaan Aceh dan Bugis di Semenanjung sebagai pemerintahan oleh kaum bukan Melayu, seperti didakwa sesetengah pihak. Masyarakat Aceh dan Bugis berasal dari Sumatera dan Sulawesi, adalah wilayah utama dalam alam Melayu. Justeru mereka bukan pendatang ketika berpindah ke Semenanjung. Mereka sebetulnya adalah watan alam Melayu dan peribumi Nusantara!
Sehingga abad ke-18, kewujudan alam Melayu di rantau ini, khususnya secara dominan di Nusantara kecuali Melaka, berterusan tanpa campur tangan Barat. Hanya pada abad ke-19, keadaannya berubah melalui penjajahan Inggeris. Untuk beberapa abad lamanya, Semenanjung dihuni rata-ratanya masyarakat Melayu. Tetapi awal abad ke-20 memperlihat kependudukan alam Melayu ini bertukar secara mendadak dengan kemasukan buruh secara besar-besaran dari China dan India.
Dengan latar sejarah yang sebegini jelas keMelayuannya, bagaimanakah Semenanjung tidak boleh dikaitkan lagi dengan nama Tanah Melayu pada masa kini khususnya dalam Gagasan 1Malaysia?
Gagasan 1Malaysia yang walaupun menganjurkan keadilan sosial yang memastikan keterlibatan semua kaum, tidak boleh sekali-kali ditafsirkan dari segi kenegaraan, khususnya mengenai salasilah negara ini sebagai betul-betul satu fenomena moden yang langsung tidak mahu mengambil kira sejarah lampau.
Penolakan unsur kesinambungan antara bentuk sebelum moden dengan yang moden oleh sesetengah pihak, yang menganggap nama Tanah Melayu itu tidak sesuai lagi digunakan pada masa ini, khususnya dalam pembentukan bangsa Malaysia dan negara moden Malaysia itu sendiri, adalah bukan saja sikap buruk. Tetapi yang lebih mudarat lagi ialah kesan buruk yang boleh timbul daripada sikap ini yang menafikan sejarah lampau negara ini sebagai jajahan Melayu.
Sesungguhnya pembinaan mana-mana negara, walaupun pada zaman moden ini perlu dikaitkan secara eksplisit dengan bentuk sebelum moden dengan mengambil kira sejarah lampau, khususnya yang berkenaan dengan beberapa identifikasi politik yang penting. Sehubungan ini,Semenanjung adalah Tanah Melayu pada masa dulu, kini dan selama-lamanyaIni adalah kenyataan nasionalisme Malaysia dan bukan etnosentrisme Melayu!
Penulis ialah Timbalan Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

3 comments:

eddy said...

Thanks Bro Anon, have corrected the oversight.

Anonymous said...

Sebelum penjajah Inggeris dan Belanda mengukir batas-batas sempadan moden daerah (dengan membahagikan sesama diri kawasan-kawasan taklukan dan pengaruh mereka), rantau ini memang berupa ruang budaya Melayu. Di seantero Nusantara, penghuninya berasal daripada rumpun Melayu malah tokoh negara Filipina Jose Rizal pun mengaku berdarah Melayu. Justeru itu, tidakkah harus jati diri sebagai Melayu terus dihayati dan dibanggakan? Namun hasrat ini nampaknya ditolak oleh parti pembangkang ... (tak payahlah saya menuding jari, dah kenal betul kerenah si anu).

eddy said...

Dear Anon, bukan pembangkang sahja yang cuba menidakkan sejarah Tanah Melayu ini malah ada juga segelintir kawan-kawan dalam BN yang berdansa sama rentak dengan Pakatan.