Monday, 30 June 2014

Tun Abdul Hamid Mohamad: PEMBANGKANG, MAJLIS PEGUAM DAN COMANGO “MERAMPAS” #MKPN (#NUCC)

'Saya katakan bahawa Kerajaan melalui Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), secara senghaja atau tidak, sedar atau tidak, telah menyerahkan tugas menetapkan dasar (polisi) dan menyediakan draf rang-rang undang-undang berikut kepada pembangkang'

'Seperti yang ditegaskan oleh MKPN, rang-rang udang-undang itu berada di peringkat rundingan. Walaupun ia masih di peringkat rundingan, soalan saya ialah mengapa pembangkang, termasuk Majlis Peguam dan COMANGO diminta, dibenarkan, dibiarkan untuk menetapkan dasar dan menggubalnya, sedangkan mereka mempunyai agenda sendiri?' 

'Mengikut amalan biasa, apabila Kerajaan hendak membuat sesuatu undang- undang, Kerajaan (Kementerian atau Jabatan) akan terlebih dahulu membuat keputusan-keputusan dasar. Selapas itu Kementerian/Jabatan akan mengarahkan Jabatan Peguam Negara (melalui pegawai-pegawainya di Kementerian atau Jabatan itu.) Tugas Peguam Negara adalah untuk menggubal seperti yang dikehendaki oleh sesuatu Kementerian atau Jabatan. Mengapa amalan itu tidak diikuti?'

'Dalam hal ini, adalah amat menghairankan mengapa jawatankuasa itu bukan sahaja diberi tugas untuk mendraf rang-rang undang-undang, tetapi juga untuk menetapkan dasar mengenainya. Peguam Negara pun tidak tidak diberi tugas seperti itu.'

 Kerajaan BN, terutama sekali UMNO dan juga PAS akan bertanggungjawab jika undang-undang itu diluluskan dan ia akan menghakis hak-hak orang Melayu dan kedudukan agama Islam. Pemimpin-pemimpin anak negeri Sabah dan Sarawak juga tidak akan terlepas daipada tanggungjawab itu. 
Tun Abdul Hamid Mohamad

'MKPN (NUCC)….PM Najib Razak, What have you done Sir?'
Me

A must read by PM Najib and his Cabinet and UMNO and all Malaysian Malays and Muslims:

PEMBANGKANG, MAJLIS PEGUAM DAN COMANGO “MERAMPAS” MKPN (NUCC)
Oleh
Tun Abdul Hamid Mohamad (29 Jun 2014)

Jika ada satu keputusan yang saya buat dalam beberapa bulan lepas yang semakin terbukti bahawa ia adalah betul, ianya adalah keputusan saya untuk menolak tawaran untuk menjadi Pengerusi Majlis Konsultansi Perpaduan Negara (MKPN)atau lebih dikenali dalam Bahasa Inggerisnya sebagai National Unity Consultative Council (NUCC). Saya menolak tawaran itu kerana saya khuatir saya akan menjadi alat untuk memanjangkan tuntutan-tuntutan pihak-pihak tertentu yang senentiasa mencari peluang untuk menguatkan kedudukan mereka dengan menghakiskan hak-hak orang Melayu dan anak-anak negeri Sabah dan Sarawak dan kedudukkan agama Islam, sambil mengekalkan hak-hak mereka. Saya takut kiranya saya akan menjadi “pengkhianat” kepada bangsa Melayu dan agama Islam. Saya berbuat demikian sebelum saya mengetahui komposisi dan nama ahli-ahli MKPN.

Apabila saya melihat komposisi dan nama ahli-ahli MKPN, saya lebih yakin bahawa keputusan saya itu adalah betul. Besar kemungkinan MKPN akan menjadi saluran untuk pihak-pihak yang mendokong program parti-parti pembangkang, terutama sekali DAP dan PKR (manakala PAS, seperti biasa akan menurut sahaja) dan ahli- ahli Melayu/Islam tidak akan dapat mempertahankan kedudukan yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan, malah ada yang tidak akan mempertahankannya kerana fahaman mereka yang “liberal” itu. Ahli-ahli yang terdiri daripada anak-anak negeri Sabah dan Sarawak, terutama sekali yang beragama Kristian, yang kurang senang denagn orang Melayu/Islam di Semenanjung kerana isu kalimah Allah, juga akan bersekongkol tanpa menyedari bahawa hak-hak mereka juga akan terhakis.

Siapakakh Pengerusi dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Undang-Undang dan Polisi MKPN? Pengerusinya ialah YB Dato' Dr Mujahid Yusof Rawa, Ahli Parlimen PAS Parit Buntar dan Timbalan Pengerusinya ialah Encik Lim Chee Wee (LCW), bekas Presiden Majlis Peguam. Dato’ Dr. Mujahid adalah seorang pemimpin PAS dan LCW adalah mantan Pengerusi Majlis Peguam. Saya katakan bahawa Kerajaan melalui Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), secara senghaja atau tidak, sedar atau tidak, telah menyerahkan tugas menetapkan dasar (polisi) dan menyediakan draf rang-rang undang-undang berikut kepada pembangkang:

1. Racial and Religious Hate Crime Billl;
2. National Harmony and Reconciliation Bill; and
3. National Harmony and Reconciliation Commission Bill.

Mengapa saya kaitkan Majlis Peguam dengan pembangkang? Semua orang tahu pendirian Majlis Peguam mengenai politik tanahair. Terus terang saya katakan bahawa Majlis Peguam menyebelahi dan menyokong Pakatan Rakyat, terutama sekali DAP dan Keadilan. Tidak perlu saya menghabiskan ruang untuk menurunkan fakta-fakta untuk menyokong kenyataan ini. Walau bagaimana pun saya akan cerita satu peristiwa yang berlaku semasa saya menjadi Ketua Hakim Negara.

Selepas PRU12, Majlis Peguam mengadakan Majlis Makan Malam Tahunannya. Untuk menjaga hubungan baik di antara Badan Kehakiman dan Majlis Peguam, saya hadir. Majlis itu tak ubah seperti majlis menyambut kemenangan parti-parti pembangkang. Antara lain, Dato Ambigar, Presiden Majlis Peguam berkata, “Akhirnya pengundi-pengundi telah matang....” (Soalan saya: Adakah pengundi hanya matang apabila mereka mengundi pembangkang, khususnya DAP dan Keadilan?) Encik Cecil Rajendra, peguam-penyair dari Pulau Pinang itu, menulis sebuah puisi memuji peguam-peguam yang memenangi pilihanraya atas tiket DAP dan Keadilan. Sebelum membaca puisinya, beliau memanggil mereka naik ke pentas dan mengisytiharkan mereka sebagai “Our heroes”. Itulah majlis rasmi Majlis Peguam yang menjemput Ketua Hakim Negara sebaga dif kehormat! Saya berfikir sama ada hendak meninggalkan majlis itu atau tidak, tetapi kerana tidak mahu membuat heboh, saya sabar juga. (Mungkin itu salah satu kelemahan orang Melayu: Orang Melayu terlalu sensitive terhadap perasaan orang lain sehingga orang lain tidak perlu sensitive terhadap perasaan mereka.)

Saya difahamkan bahawa LCW dan Andrew Khoo (Pengerusi Jawatankuasa Hak Asasi Manusia Majlis Peguam dan seorang aktivis COMANGO) terlibat dalam menyediakan draf ketiga-tiga rang undang-undang itu. Malah saya percaya bahawa firma guaman merekalah yang membuatnya. Naskah awal yang saya terima melalui email tertera kata-kata “Prepared by Bar Council”. Saya juga membandingkan kedua-dua set rang-rang undang-undang itu. Banyak peruntukan kedua-dua set itu serupa, seksyen demi sekyen.

Apa salahnya jika pembangkang dilantik menjadi Pengerusi dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa itu? Ia bererti, paling kurang, bahawa setelah BN berhempas pulas untuk memenangi PRU 13, ia mengketepikan pengundi-pengundinya untuk mengambil hati pembangkang. Jika demikian untuk apa penyokong-penyokong BN terutama sekali UMNO berkerja keras untuk memberi kemenangan kepada UMNO dan BN? Pembangkang pula tidak perlu berkerja keras untuk menang, sebab jika ia kalah sekalipun ia akan dapat menyerapkan rancangannya untuk dilaksanakan juga.

Apa salahnya jika Majlis Peguam yang menggubal draf awal? Saya katakan, apabila diberi peluang Majlis Peguam semestinya akan menggubal seperti yang dikehendakinya, sesuai dengan kehendak parti-parti yang disokongnya ia itu DAP dan Keadilan.

Hal seperti ini pernah berlaku semasa saya menjadi Ketua Hakim Negara. Majlis Peguam telah menggubal Rang Udang-Undang Pelantikan Hakim-Hakim. Draf itu dibawa kepada Perdana Menteri (pada masa itu) oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (pada masa tu), Dato Zaid Ibrahim. Kerana ia melibatkan Badan Kehakiman, saya diberi satu salinan. Ringkasnya, mengikut draf itu Suruhanjaya itu akan menentukan siapa yang akan dilantik menjadi Hakim dan siapa yang akan naik pangkat sehingga menjadi Ketua Hakim Negara. Dalam draf Majlis Peguam itu, majoriti ahli-ahli Suruhanjaya itu adalah peguam-peguam. Ertinya penguam- peguamlah yang akan menentukannya. Saya membantahnya. Antara lain, saya berkata: “Jika Rang Undang-Undang ini diluluskan, Hakim-Hakim akan melutut kepada peguam-peguam.” Akhirnya, rang undang-undang itu dipinda dan peruntukan mengenai ahli-ahli yang terdiri daripada peguam-peguam dikeluarkan.

Tidakkah kita belajar dari kesilapan itu? Atau, dalam hal ini, adakah ia disengajakan, cuai, atau kerana tidak atau tidak dapat berfikir?

Saya difahamkan bahawa LCW, bersama-sama Christopher Leong (Presiden Majlis Peguam ) dan Andrew Khoo telah pun turun padang untuk mempromosikan agenda mereka.

Seperti yang ditegaskan oleh MKPN, rang-rang udang-undang itu berada di peringkat rundingan. Walaupun ia masih di peringkat rundingan, soalan saya ialah mengapa pembangkang, termasuk Majlis Peguam dan COMANGO diminta, dibenarkan, dibiarkan untuk menetapkan dasar dan menggubalnya, sedangkan mereka mempunyai agenda sendiri?

Mengikut amalan biasa, apabila Kerajaan hendak membuat sesuatu undang- undang, Kerajaan (Kementerian atau Jabatan) akan terlebih dahulu membuat keputusan-keputusan dasar. Selapas itu Kementerian/Jabatan akan mengarahkan Jabatan Peguam Negara (melalui pegawai-pegawainya di Kementerian atau Jabatan itu.) Tugas Peguam Negara adalah untuk menggubal seperti yang dikehendaki oleh sesuatu Kementerian atau Jabatan. Mengapa amalan itu tidak diikuti?

Dalam hal ini, adalah amat menghairankan mengapa jawatankuasa itu bukan sahaja diberi tugas untuk mendraf rang-rang undang-undang, tetapi juga untuk menetapkan dasar mengenainya. Peguam Negara pun tidak tidak diberi tugas seperti itu.

Perlu ditegaskan bahawa saya tidak menentang pihak pembangkang dirunding mengenai rang-rang udang-undang itu. Tetapi, janganlah sampai menyerahkan penentuan dasar dan penggubalan kpada mereka. Mereka tentu sekali akan menetapkan dasar akan menggubal mengikut kehendak mereka. Ini kita dapat lihat daripada kandungan draf rang-rang undang-undang terebut.

Kerajaan BN, terutama sekali UMNO dan juga PAS akan bertanggungjawab jika undang-undang itu diluluskan dan ia akan menghakis hak-hak orang Melayu dan kedudukan agama Islam. Pemimpin-pemimpin anak negeri Sabah dan Sarawak juga tidak akan terlepas daipada tanggungjawab itu.

(Bahagian Kedua akan membincang peruntukan-peruntukan rang-rang undang- undang itu)

tahamidm@gmail.com 
www.tunabdulhamid.my

29 Jun 2014

No comments: