Friday, 20 June 2014

SIARAN AKHBAR PERSATUAN PEGUAM PEGUAM MUSLIM MALAYSIA 'MALAYSIA BUKAN NEGARA SEKULAR'

SIARAN AKHBAR 
PERSATUAN PEGUAM PEGUAM MUSLIM MALAYSIA
'MALAYSIA BUKAN NEGARA SEKULAR'


PERSATUAN PEGUAM PEGUAM MUSLIM MALAYSIA (PPMM) mengecam usaha ahli Parlimen Sibu Oscar Ling Chai Yew dari DAP yang dilaporkan ingin merujuk Datuk Sri Jamil Khir Baharom Menteri di Jabatan Perdana Menteri kepada Jawatankuasa Hak Parlimen mengikut Peraturan Mesyuarat 36(12) kerana didakwa jawapannya mengeirukan Parlimen dengan mengatakan Malaysia bukanlah sebuah negara sekular berdasarkan fakta sejarah dan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan.

PPMM menegaskan bahawa Malaysia bukanlah sebuah negara sekular. Terdapat banyak peruntukan di dalam Perlembagaan Persekutuan yang memberi kelebihan kepada agama Islam dan ini merupakan manifestasi prinsip pemisahan agama dari pentadbiran dan undang-undang sebagaimana diamalkan sekular adalah ditolak. Sebagai seorang ahli Parlimen PPMM percaya Oscar Ling mengetahui peruntukan-peruntukan yang dimaksudkan.

PPMM juga menegaskan pakar undang-undang Perlembagaan seperti Datuk Dr Shad Saleem Faruqi, Dr Abdul Aziz Bari, Dr Shamrahayu Abd Aziz, Dr Khairil Azmin Mokhtar dan Dr Farid Shuib Sufian semuanya bersetuju Malaysia bukan sebuah negara sekular sebagaimana yang terdapat di dalam kajian-kajian ilmiah mereka. Terdapat pelbagai ciri-ciri Islam di dalam Perlembagaan Persekutuan yang menyanggah sifat sekular yang didakwa.

Malah syor Parti Perikatan kepada Suruhanjaya Reid agar Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan turut dimasukkan klausa bahawa walaupun Islam adalah agama bagi Persekutuan ia tidak menjejaskansifat sekular negara juga telah tidak diterima untuk dimasukkan ke dalam Perlembagaan Persekutuan.

Begitu juga penghakiman-penghakiman terkini juga tidak menghadkan tafsiran Islam di dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan sekadar dogma-dogma atau ritual-ritual sahaja tetapi merupakan sebuah cara hidup yang lengkap. PPMM menjemput Oscar Ling membaca penghakiman-penghakiman tersebut khususnya dalam kes Lina Joy mlwn Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan(Mahkamah Persekutuan), Meor Atiqurrahman mlwn Fatimah Sihi(Mahkamah Tinggi) dan banyak lagi. Malah di dalam kes Ramah mlwn Laton Hakim British juga telah mengisytiharkan undang-undang Islam adalah undang-undang asas Tanah Melayu.

Dalam hal yang demikian PPMM langsung tidak mendapati sebarang kesilapan di dalam jawapan Jamil Khir tersebut mahupun mengelirukan ahli-ahli Parlimen yang lain. Malah jawapan tersebut adalah paling tepat yang pernah dibuat mana-mana pemimpin UMNO.

Walau bagaimanapun PPMM amat bersetuju dengan saranan ahli Parlimen DAP Puchong Gobind Sing Deo yang menyeru Yang Di Pertuan Agong merujuk isu tafsiran dan kesan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan ini kepada Mahkamah Persekutuan menurut Perkara 130 Perlembagaan Persekutuan. Yang Di Pertuan Agong mempunyai kuasa untuk merujuk kepada Mahkamah Persekutuan untuk pandangan mahkamah tentang kesan mana-mana peruntukan di dalam Perlembagaan Persekutuan. Jika Mahkamah Persekutuan memberikan pandangan mereka, maka kemelut dan pertikaian tentang dakwaan sekularnya negara ini akan dapat dipastikan dengan tuntas.

Berbalik kepada usaha yang dipelopori oleh Oscar Ling ini, PPMM menyeru kepada Yang Di Pertua Dewan Rakyat agar menolak usul ini dan jika usul ini dibahaskan PPMM meminta semua ahli Dewan Rakyat agar menolak usul yang dikemukakan ini.

PPMM juga menasihati Oscar Ling agar sedar dan akur tentang kedudukan Islam bukan sekadar agama rasmi tetapi agama bagi Persekutuan disamping agama-agama lain boleh dianuti dan diamal dalam aman dan damai.

Bertarikh pada 17 Jun 2014
Dato Haji Zainul Rijal Abu Bakar
Presiden
Persatuan Peguam Peguam Muslim Malaysia

Ok, I think enough of these Secular or Islam state, now can we talk about how the Billions in RM that is being held by Baitul Mal:

1.  How is it managed?
2.  How well is it managed?
3.  Did the right people get benefit from its investments?
4.  How about audits,  is it being audited by professional audit firms?


No comments: