Thursday, 21 January 2016

Kepada YB Ahli-Ahli Parimen BN, Pakatan Harapan dan PAS

Harap YB-YB dapat baca dengan minda terbuka..especially YB-YB dari BN..Terima Kasih ye:


Dengan penuh takzim kepada sekalian yang berhormat ahli Parlimen yang bertanggungjawab ke atas kepentingan negara tercinta, saya mengutus surat ini mengenai suatu isu kritikal yang menjadi dilema negara kita sekarang, dan bakal tercatit sebagai noktah penting dalam sejarah negara untuk dikenang generasi akan datang.


TPPA, Perjanjian bebas yang mengikat

Sebagaimana semua sedia maklum, Malaysia bakal menandatangani Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) pada bulan Februari 2016, sekiranya diluluskan Dewan yang serba mulia dalam perbahasan selama 3 hari yang sangat singkat kelak.

 Rundingan TPPA selama 5 tahun tersebut dimuktamadkan pada 5 Oktober 2015, dan akan diikuti tempoh ratifikasi selama 2 tahun untuk kita meminda undang-undang dalam negara -  lebih 27 akta dan beberapa pekeliling dan aturan Kerajaan - bagi mematuhi peraturan yang terkandung dalam TPPA, seterusnya memberi laluan kepada penguatkuasaan TPPA kepada negara anggota selewatnya pada 2018.

Penyertaan Malaysia di dalam TPPA akan meletakkan Malaysia di dalam kelab 12 buah negara di rantau Lautan Pasifik, iaitu Amerika Syarikat, Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, dan Vietnam yang bakal muncul sebagai sebuah blok ekonomi terpenting di dunia, bagi menyaingi kebangkitan gergasi ekonomi dunia yang baharu, iaitu Brazil, Rusia, India dan China (BRIC).

Tiadalah salah untuk Malaysia menjalin hubungan dagang dengan dunia luar, namun apa yang menjadikan TPPA begitu kontroversi adalah kerana skop perjanjiannya yang lebih komprehensif dan meluas, meliputi aspek harta intelek, tender kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan, buruh, dan alam sekitar, berbanding skop ekonomi dan pelaburan yang terkandung dalam FTA biasa.

Secara keseluruhan, TPPA merangkumi 30 bab meliputi bidang tradisional dan bidang baharu.

Ia mengandungi 6,350 muka surat - 595 halaman teks perjanjian, 5,755 halaman lampiran (annexes) berkaitan akses pasaran, syarikat milik kerajaan dan peraturan tempat asal, serta 20 surat sampingan (side letters) yang dipersetujui secara 2 hala mengenai isu spesifik.


Hujah dibalas hujah

Saya mengucapkan tahniah sekiranya yang berhormat berkesempatan untuk mentelaah setiap 6,350 halaman perjanjian tersebut, kerana kami rakyat marhaen di luar ini bukan sahaja tidak berkesempatan, malah tidak berkeupayaan untuk memahami setiap terma yang digunakan dalam perjanjian yang serba mengikat ini.

Dalam memperhalusi kesan perjanjian yang serba mengikat ini, kerajaan hanya melantik konsultan untuk menjalankan kajian impak TPPA selepas rundingan dimuktamadkan pada 5 Oktober 2015, dalam keadaan tiada lagi pindaan yang dibenarkan pada teks perjanjian tersebut.

Sewajarnya kerajaan menjalankan kajian sebelum rundingan ditamatkan, tetapi ternyata kita memilih jalan sebaliknya.

Kerajaan melantik sebuah firma audit antarabangsa, PriceWaterhouseCoopers (PWC) yang mengambil masa tidak sampai 2 bulan untuk menjalankan kajian kos dan manfaat (Cost & Benefit Analysis) terhadap negara, dan merumuskan bahawa penyertaan Malaysia dalam TPPA akan membawa manfaat kepada ekonomi dengan peningkatan dalam pertumbuhan KDNK, pertambahan pelaburan serta import dan eksport.

Manakala sebuah badan pemikir tempatan, Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) mengambil masa sebulan untuk menyiapkan analisa kepentingan negara (National Interest Analysis), dan menyimpulkan TPPA akan memberi kesan positif kepada kepentingan dan kedaulatan negara.

Malah kerajaan turut menangkis segala tohmahan yang menyatakan TPPA akan menggugat agama Islam, perlembagaan, bumiputera, keselamatan makanan, hak cipta, dan ubat-ubatan.

Di pihak kerajaan pula, siri taklimat dan penerangan tentang TPPA giat dijalankan ke seluruh negara.

Rakyat diberikan jaminan TPPA ini serba indah dan Malaysia bakal ditimpa malang sekiranya tidak menandatangani TPPA sekarang, sebagaimana yang terkandung dalam sesi taklimat Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) bersama ahli Parlimen bertarikh 12 Januari dan dokumen jawapan kepada kebimbangan, salah faham dan tuduhan bertarikh 11 Januari.

Tiga hujah yang dikemukakan kerajaan untuk menyokong penyertaan Malaysia ke dalam TPPA, dan wajar dinilai yang berhormat, antaranya:

Peningkatan pelaburan yang menyumbang kepada pewujudan peluang pekerjaan

Menurut simulasi yang dijalankan PWC, kesan TPPA kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia tidaklah terlalu besar – hanya menyumbang kenaikan 1.1% KDNK dan kenaikan 0.9% eksport negara pada 2027, satu lonjakan yang sangat rendah dan tidak signifikan kepada ekonomi negara yang berkembang pada kadar 4% - 6% setahun.

Model ekonomi CGE yang digunakan PWC mengunjurkan GDP akan meningkat sebanyak ASD107-211 bilion dalam tempoh 10 tahun sekiranya Malaysia menyertai TPPA, atau hanya ASD10 bilion setahun (RM40 bilion).

Namun, jika andaian model CGE tersebut direndahkan daripada ‘baseline GDP growth’ 5.0% kepada 4.0% sebagaimana negara maju yang lain, peningkatan GDP Malaysia hanyalah pada kadar ASD85-168 bilion, atau hanya ASD8 bilion setahun.


Akses pasaran ke negara ahli TPPA yang Malaysia belum ada FTA, iaitu Amerika Syarikat, Kanada, Mexico dan Peru

Hakikatnya, sebagaimana dilaporkan kajian PWC, jumlah dagangan Malaysia ke Amerika Syarikat mencecah RM116 bilion dan dijangka terus meningkat, walaupun tanpa TPPA, bermakna lonjakan yang bakal diterima Malaysia adalah sangat minima.

Malah, kajian PWC turut mengunjurkan nilai imbangan dagangan yang lebih rendah sekiranya Malaysia menyertai TPPA, pada kadar USD29.7 bilion berbanding USD42.3 bilion sekiranya tidak menyertai TPPA.


Integrasi lebih menyeluruh dalam rantaian bekalan di peringkat serantau dan global bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS)

Selain TPPA, Malaysia sedang dalam proses rundingan 4 FTA yang lebih meluas di peringkat serantau dan global, iaitu Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) melibatkan semua 10 negara ASEAN dan 6 rakan FTA ASEAN iaitu China, India, Jepun, Korea Selatan, New Zealand dan Australia; Malaysia-EU melibatkan  Malaysia dan Kesatuan Eropah yang terdiri daripada 27 buah negara; Perjanjian Perkongsian Ekonomi Malaysia - EFTA (MEEPA) di antara Malaysia dan European Free Trade Association yang terdiri daripada Iceland, Liechtenstein, Norway dan Switzerland; dan ASEAN-Hong Kong melibatkan semua 10 negara ASEAN dan Hong Kong.

Selain itu, 3 hujah dikemukakan kerajaan berkenaan kesan buruk sekiranya Malaysia tidak menyertai TPPA, dan wajar dibahas yang berhormat, antaranya:

Malaysia akan kurang daya tarikan sebagai destinasi pelaburan bagi pelabur yang mengeksport produk dan perkhidmatan ke pasaran TPPA.

Realitinya, faktor utama yang menjadi daya tarikan sesebuah negara untuk menjadi destinasi pilihan pelabur adalah kestabilan politik, iklim pelaburan yang kondusif, dan kualiti modal insan tempatan, di samping karenah birokrasi dan amalan rasuah yang rendah.

Antara indeks antarabangsa yang mengukur tahap daya saing negara adalah “World Competitiveness Ranking (IMD)”, “Ease of Doing Business (World Bank)”, dan “Corruption Index (Transparency International)”.

Syarikat tempatan dan asing yang kini beroperasi di Malaysia mungkin akan mengecilkan skala operasinya.

Kajian PWC mendapati 3 sektor yang bakal mendapat manfaat adalah perniagaan yang berorientasikan eksport seperti tekstil, komponen automotif, dan elektrikal & elektronik (dikuasai firma Amerika Syarikat dan Eropah).

Manakala 3 sektor yang bakal mendapat kesan negatif adalah industri yang menghadapi persaingan yang lebih sengit pasca-TPPA seperti minyak & gas, minyak sawit, dan pembinaan, di mana sektor ini merupakan penyumbang utama kepada ekonomi negara dan dikuasai syarikat tempatan.

Malaysia akan berdepan dengan persaingan lebih sengit dari Vietnam dan Singapura dalam menarik pelaburan asing.

Dan sekiranya Indonesia, Thailand dan Filipina memilih untuk menyertai TPPA kemudian hari, Malaysia akan ketinggalan lebih jauh.

Elemen tariff dan duti hanyalah faktor sampingan yang menjadi pertimbangan pelabur, bukannya faktor penentu sebagaimana faktor kestabilan politik dan transparensi dalam pasaran tempatan. 


Hakikat globalisasi dan penjajahan moden

Menurut Syeikh Prof. Dr.Yusuf al-Qardhawi, pengertian globalisasi (al-‘Awlamah) hampir sama dengan nilai kesejagatan (al-‘Alamiyyah) yang dibawa Islam.

Namun, menurut Syeikh al-Qardhawi, globalisasi dalam gambaran yang sangat ketara pada hari ini bererti membaratkan dunia (Westernisation) atau mengAmerikakan dunia (Americanisation), dengan tujuan untuk menguasai dunia di bawah satu ungkapan yang lunak iaitu globalisasi bagi menjayakan agenda pemaksaan pengaruh Amerika dan Eropah ke seluruh dunia.

Untuk makluman yang berhormat, perbahasan mengenai sikap dan pendirian Islam terhadap globalisasi moden ini dikupas dengan teliti Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang (TGHA) di dalam kertas kerja beliau yang yang diterjemahkan daripada Bahasa Arab berjudul "Globalisasi: Pendirian Islam Mengenainya", dibentangkan sempena Kolokium Antarabangsa Penyatuan Umat Sedunia di Tehran (Urusetia Penerangan Negeri Terengganu, 2003).

Di dalam kertas kerja tersebut, beliau menggariskan bentuk dan pendekatan globalisasi di zaman moden ini, seterusnya mengemukakan tindakan dan strategi yang perlu diambil dunia Islam, dengan mengambil pandangan tokoh ilmuan Islam kontemporari, termasuklah Syeikh Prof Dr.Yusuf al-Qardhawi, Prof Dr. Najmuddin Erbakan, Syeikh Dr Fathi Yakan, dan Syeikh Mohammad Hussin Fadlullah.

Antara sikap yang perlu diambil Malaysia dalam menghadapi cabaran globalisasi ala-Barat dan ala-Amerika ini adalah membebaskan diri daripada penjajahan pemikiran sekular agar dapat kembali kepada agama pemahaman dan pelaksanaan Islam yang sempurna, serta mengurangkan pergantungan kepada Amerika dengan meningkatkan kerjasama sesama negara umat Islam dan negara serantau.

Sewajarnya yang berhormat menyarankan agar kepentingan Malaysia dilindungi secara bermasyarakat madani di kalangan negara serantau (ASEAN), negara satu umat dan seagama (OIC) dan juga satu kemanusiaan (NAM) dengan adil dan saksama,  serta membebaskan Malaysia daripada bergantung dengan dolar Amerika kepada dinar atau mata wang Asia, tanpa bermusuh dengan sesiapa dan tidak berpihak kepada sesiapa.

Berdasarkan pertimbangan di atas, jelas menunjukkan tiada keperluan untuk Malaysia terikat dengan perjanjian TPPA yang tidak menjamin kesejahteraan hidup rakyat, dan tidak membawa manfaat yang besar kepada ekonomi negara, berbanding risiko dan kerugian yang tidak dapat dipastikan.

Mungkin yang berhormat fikir saya ini seorang pesimis. Sebenarnya saya sangat optimis dan yakin akan kemampuan kita sendiri, khususnya kebolehan yang ada di kalangan generasi muda, yang akan mewarisi negara tercinta ini dan memimpinnya ke persada antarabangsa. – 21 Januari, 2016.

* Syahir Sulaiman ialah Pengarah Strategi Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM)


No comments: