Wednesday, 7 October 2015

Kenyataan Raja-Raja Melayu Pada 6 Okt 2015

Kenyataan Raja-Raja Melayu Pada 6 Okt 2015

KUALA LUMPUR, 6 Okt (Bernama) -- Berikutan mesyuarat Pre-Council Raja-Raja yang diadakan di Istana negara pada hari ini, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Datuk Seri Syed Danial Syed Ahmad mengeluarkan kenyataan berikut :



1. Raja-raja Melayu amat prihatin terhadap rasa resah dan kebimbangan yang telah disembah maklum oleh rakyat menyentuh kritikan terhadap kredibiliti dan integriti Kerajaan dalam melaksanakan amanah rakyat mentadbir negara. Budi Bicara Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja Melayu telah dipohon untuk membantu menyelesaikan masalah yang sedang melanda negara ketika ini.



2. Sesungguhnya Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu ada tanggungjawab fardu kifayah untuk memastikan keamanan dan kemakmuran negara dapat berlangsung dalam suasana politik yang stabil dan rakyatnya hidup dalam harmoni. Justeru itu, Raja-raja Melayu setelah berbincang bersama, merasa bertanggungjawab untuk mengeluarkan satu kenyataan berkaitan dengan persoalan dan kontroversi yang sedang melanda negara ketika ini, iaitu isu 1MDB. Raja-raja Melayu maklum bahawa Kerajaan pada ketika ini sedang melakukan siasatan. Baginda sekalian menegaskan perlunya pihak kerajaan menyelesaikan dengan secepat mungkin penyiasatan yang sedang berjalan. Jika terbukti terdapat sebarang perbuatan yang menyalahi undang-undang, maka Kerajaan hendaklah mengambil tindakan tegas yang sewajarnya terhadap pihak-pihak yang terlibat. Semua pihak adalah bertanggungjawab untuk memberikan kerjasama yang sebenar dan jujur agar usaha dan maksud siasatan tersebut mencapai kejayaan.



3. Penemuan siasatan ini hendaklah dilaporkan secara lengkap dan telus supaya rakyat dapat diyakinkan akan keikhlasan Kerajaan yang sama sekali tidak akan melindungkan fakta dan kebenaran. Kegagalan memberikan penjelasan dan jawapan yang menyakinkan, dikhuatiri telah mengakibatkan berlakunya krisis keyakinan. Akibatnya rakyat percaya sama ada dengan realiti mahupun secara persepsi, bahawa ia turut menjadi antara sebab yang telah mempengaruhi kejatuhan nilai mata wang Ringgit Malaysia secara mendadak, sehingga memberikan impak negatif ke atas pasaran kewangan dan iklim ekonomi negara dan sekali gus telah menjejaskan pandangan dunia terhadap Malaysia.



4. Raja-raja Melayu bimbang jika isu ini tidak ditangani secara bijak, apatah lagi jika berlarutan dan memakan masa terlalu lama, ia berpotensi menjejaskan keadaan ekonomi negara dan memudaratkan kehidupan rakyat jelata yang dikhuatiri berkemungkinan pula menjejaskan ketenteraman awam serta keselamatan negara.



5. Raja-raja Melayu dengan ini, mengingatkan semua pemimpin agar pada setiap masa mendukung prinsip-prinsip Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-undang menurut yang termaktub di dalam Rukun Negara. Demi memastikan Kerajaan mendapat kepercayaan, pemimpin dihormati, kestabilan politik terus terjamin dan ekonomi negara terus berkembang, semua pemimpin wajib pada setiap masa memastikan keadilan dilaksanakan secara saksama lagi telus berpaksikan undang-undang. Untuk itu, badan-badan penguatkuasaan serta institusi-institusi kawal selia seperti Polis DiRaja Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Bank Negara, Jabatan Peguam Negara dan Badan Kehakiman, begitu juga badan-badan serta institusi-institusi Kerajaan yang berkaitan hendaklah menyempurnakan amanah ILAHI dan kepercayaan rakyat secara telus, berkredibiliti dan berintegriti. Pemimpin-pemimpin hendaklah senantiasa mengutamakan faktor-faktor keselamatan, ketenteraman, keamanan dan keharmonian serta meletakkan kepentingan Negara dan rakyat mengatasi kepentingan peribadi.



6. Raja-raja Melayu memandang berat isu-isu menyentuh kaum dan agama dan dengan ini mengingatkan para pemimpin parti-parti politik dan badan-badan bukan kerajaan agar tidak mensensasikan isu perkauman dan isu agama dalam hasrat meraih sokongan rakyat terhadap parti atau pihak masing-masing. Raja-raja Melayu menzahirkan peringatan bahawa hubungan harmoni dan perpaduan antara kaum dan antara agama yang terjalin baik selama hari ini telah berperanan penting sebagai tunggak utama kepada kestabilan sebuah negara Malaysia yang merdeka, aman, maju dan makmur. Oleh itu, hubungan harmoni dan perpaduan rakyat wajib dipelihara pada setiap masa dan tidak boleh sama sekali dikorbankan kerana matlamat politik yang cetek.



-- BERNAMA


My Thots:

Harap memanda Menteri dan orang-orang Besar Kerajaan Malaysia menjunjung Titah Raja-Raja Melayu kita yang mahukan penyelesaian segera kepada masaalah-masaalah yang disebutkan diatas.

Daulat Tuanku, Daulat Tuanku, Daulat Tuanku

No comments: