Monday, 6 February 2017

Berjaga-jaga ungkit perkara lama

From Sinar Harian: Berjaga-jaga ungkit perkara lama

A KADIR JASIN

KEBELAKANGAN ini beberapa saluran propaganda arus perdana telah membangkitkan semula peristiwa yang berlaku masa lampau.

Dua daripadanya adalah skandal Bumiputra Malaysia Finance (BMF) dan pembabitan Bank Negara dalam perniagaan tukaran mata wang.

Dalam kes BMF, saya adalah antara wartawan terawal membuat berita yang kemudiannya didapati tidak benar. Apabila berita skandal itu mula dilaporkan oleh agensi berita antarabangsa dan media serantau, saya bertanya seorang pegawai kanan Bank Bumiputra mengenainya.

Bank Bumiputra adalah induk kepada BMF yang berupa sebuah syarikat pinjaman yang beribu pejabat di Hong Kong.  

Pegawai itu menafikan berita yang BMF mengalami masalah kewangan akibat hutang lapuk. Saya menyiarkan berita itu dalam akhbar saya, Business Times.

Laporan saya itu ternyata songsang dan krisis MBF akhirnya meledak menyebabkan kerugian besar kepada Bank Bumiputra.

Pokok pangkal skandal itu bermula sekitar tahun 1979-80 ketika mana Perdana Menteri ialah Allahyarham Tun Hussein Onn dan Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah.

Sebelum dilantik Menteri Kewangan pada tahun 1976, Tengku Razaleigh adalah Pengerusi Bank Bumiputra.

Beliau juga pernah menjadi Pengerusi Perbadanan Nasional (Pernas), Petronas dan Kumpulan Fleet yang memiliki New Straits Times Press Berhad.

Skandal itu bermula apabila BMF memberikan pinjaman besar dan mudah kepada seorang jurutera Singapura bernama George Tan.

Dengan pinjaman BMF itulah Tan membeli pencakar langit Gammon House dan harta-harta lain di Hong Kong. Dalam sekelip mata Tan menjadi wunderkinder atau budak ajaib dunia korporat Hong Kong. Waktu itu Hong Kong masih tanah jajahan Inggeris.

Siasatan yang dilakukan di Malaysia, Hong Kong dan United Kingdom akhirnya menyebabkan tiga rang pegawai kanan Bank Bumiputra dan BMF dipenjarakan di England dan Hong Kong. Salah seorang daripadanya adalah pegawai yang memberitahu saya bahawa BMF tidak menghadapi sebarang masalah.

Mereka yang didapati bersalah dan dipenjarakan adalah pengerusi Bank Bumiputra, Lorraine Esmi Osman; Pengarah Urusan Hashim Shamsuddin dan Ketua Pegawai Ekonomi, Dr  Rais Saniman. Lorraine meninggal tahun 2011.

Apabila Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri, sebuah jawatankuasa penyiasat yang dianggotai oleh Ketua Juruaudit Negara, Tan Sri Ahmad Nordin, juruaudit bebas Ramli Ibrahim dan peguam Chooi Man Sou telah ditubuhkan. Antara fakta yang muncul ialah lembaga pengarah Bank Bumiputra enggan memberi kerjasama.

Berikutan meledaknya skandal itu, Tengku Razaleigh ditukarkan dari Kementerian Kewangan ke Kementerian Perdagangan dan Perindustrian. Ahli perniagaan dan bekas majistret Tun Daim Zainuddin dilantik menggantikan beliau.

Kes kedua ialah kerugian perniagaan tukaran asing Bank Negara pada tahun 1990-an yang berjumlah AS$12 bilion atau kira-kira RM30 bilion pada kadar tukaran waktu itu.

Tujuan tersirat operasi itu adalah mempertahankan nilai ringgit dan, kalau nasib baik, buat keuntungan luar biasa tetapi ia berakhir dengan kerugian. Gabenor Bank Negara waktu itu, Allahyarham Tan Sri Jaffar Hussein, mengambil tanggungjawab dan meletakkan jawatan.

Pegawai yang bertanggungjawab terus dalam operasi tersebut, Tan Sri Nor Mohamed Yackop, diarahkan berhenti.

Ironinya orang yang digunakan untuk mengungkit peristiwa tersebut iaitu Datuk Abdul Murad Khalid adalah penolong gabenor yang bertanggungjawab ke atas peraturan perbankan dan kawal selia ketika krisis itu meletus.

Apatah lagi Abdul Murad sendiri kemudiannya disiasat dan dituduh di mahkamah kerana gagal mengisytiharkan aset berjumlah hampir RM24 juta. Soalnya bagaimanakah seorang pegawai Bank Negara yang baru berusia dalam lingkungan 50 tahun boleh mengumpul harta sebanyak  itu? Beliau didapati bersalah dan didenda RM500,000.

Isu-isu ini diungkit oleh saluran propaganda yang tidak pun tahu keadaan sebenar atau yang berasa generasi muda boleh dibohongi kerana mereka tidak tahu apa-apa dan generasi lama sudah lupa.

Seperkara lagi, wujud perbezaan besar di antara kerugian perniagaan tukaran mata wang Bank Negara dengan skandal BMF tahun 1980-an dan 1MDB sekarang.

Dalam kes perniagaan tukaran mata wang Bank Negara, tujuannya baik iaitu mempertahankan nilai ringgit dan tidak ada duit haram yang masuk ke dalam akaun peribadi sesiapa.

Tetapi skandal 1MDB ada persamaan dengan BMF kerana ia membabitkan orang tengah - George Tan dalam kes BMF dan Jho Low dalam kes 1MDB. Dalam kedua-dua kes, banyak duit yang mengalir keluar dan tidak mengalir masuk semula. Unsur-unsur jenayah dan penipuan amat jelas. 

Wallahuaklam.

..and the latest news in The Edge:



No comments: