Saturday, 16 July 2016

PARTI POLITIK BARU - KENYATAAN YB TAN SRI DATO' HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN

KENYATAAN YB TAN SRI DATO' HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN


Saya bersetuju dengan cadangan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menubuhkan sebuah parti politik baharu yang akan bekerjasama dengan semua pihak termasuk Pakatan Harapan, PAS dan pertubuhan masyarakat sivil untuk meneruskan perjuangan menyelamatkan Malaysia di samping mengambil langkah-langkah perlu untuk melakukan reformasi institusi. Saya telah berbincang dengan Tun Dr Mahathir, Datuk Seri Shafie Apdal, Datuk Seri Mukhriz dan rakan-rakan yang lain mengenai keperluan penubuhan sebuah wadah politik untuk meneruskan perjuangan ini menerusi penyertaan di dalam pilihanraya. 

Pada masa yang sama, saya juga akur bahawa penubuhan sebuah wadah politik baharu hanya akan berkesan sekiranya ia dipersetujui secara konsensus oleh rakan-rakan pimpinan parti-parti pembangkang yang lain. Untuk itu saya akan meneruskan perbincangan dengan pihak-pihak yang berkaitan sebelum memutuskan langkah selanjutnya. 

Saya juga bersependapat dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Dato' Seri Azmin Mohamed Ali  dan beberapa pimpinan PH dan PAS yang lain bahawa parti-parti pembangkang perlu kembali berunding untuk mewujudkan kesepakatan dalam menghadapi pilihanraya umum akan datang. Kesepakatan ini adalah amat penting untuk meraih keyakinan rakyat bahawa parti-parti politik selain BN mampu untuk menerajui Malaysia dengan lebih baik dan membela nasib rakyat. 

Saya amat mengalu-alukan  perkembangan positif ini dan bersedia untuk berbincang dengan semua pihak bagi bersama-sama mencari kaedah terbaik untuk membawa perubahan politik dan kerajaan yang amat dinanti-nantikan oleh seluruh rakyat Malaysia menerusi pilihanraya umum akan datang. Andaian bahawa BN akan terus berkuasa dan pemimpin rasuah akan terus bermaharajalela lantaran perpecahan dalam kalangan parti-parti pembangkang tidak semestinya betul. Saya yakin Malaysia sudah bersedia untuk menyongsong arus perubahan dan rakyat tanpa mengira kaum dan agama akan bersatu hati untuk membela nasib rakyat, menentang rasuah, salah guna kuasa dan manipulasi sentimen perkauman yang melampau demi mencipta masa depan yang lebih baik untuk semua. 

InsyaAllah, berkat muafakat rakyat dan jiwa besar pemimpin yang ikhlas memperjuangkan nasib rakyat dan kepentingan negara, kita akan berjaya mengenepikan perbezaan, mewujudkan kesepakatan dan mencapai kemenangan.


TAN SRI DATO' HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN

Selamat Berjaya!

No comments: