Sunday, 26 June 2016

Selamat Tinggal Umno

KENYATAAN MEDIA UMNO BAHAGIAN PAGOH

UMNO Bahagian Pagoh yang bermesyuarat pada hari ini 25 Jun 2016 yang dipengerusikan oleh YB. Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pagoh memutuskan
MENOLAK keputusan MT memecat YB. Tan Sri Muhyiddin berdasarkan perkara berikut :-

1.  Tidak mengikut prosedur yang sepatutnya mengikut saluran yang berperingkat  seperti yang termaktub dalam perlembagaan Parti (Fasal 20 Disiplin). MKT dan Perlembagaan UMNO disalahguna oleh Presiden dan mengenepikan amalan demokrasi dalam UMNO. YB Tan Sri Muhyiddin tidak dipanggil untuk mempertahankan tuduhan terhadapnya sejak awal penggantungannya.

2. Tan Sri Muhyiddin telah dipilih Timbalan Presiden UMNO dan  Ketua UMNO Bahagian Pagoh  oleh ahli Parti seluruh Negara makanya tindakan MT telah mengkhianati ahli UMNO. YB. Tan Sri Muhyiddin tidak diberi peluang dan dinafikan hak untuk berucap dan menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden Parti. Oleh yang demikian, beliau terpaksa menggunakan pentas NGO untuk pejuangan ini. 

3. YB. Tan Sri menyatakan masalah salah laku / jenayah yang dilakukan oleh Presiden berdasarkan daripada laporan yang berintegriti daripada Agensi Kerajaan seperti bekas Peguam Negara, Bekas Gabenor Bank Negara dan SPRM. Isu ini masih terus didedahkan di peringkat Antarabangsa dan tiada penghujungnya. Laporan PAC selari dengan apa yang disuarakan oleh YB Tan Sri Muhyiddin seperti membubarkan Lembaga Penasihat 1MDB dan sebagainya.

4. YB. Tan Sri menegur Presiden adalah untuk memperkukuhkan Parti bukan untuk kepentingan peribadi.Beliau mengambil tanggungjawab mempertahankan Parti dan imej negara . Beliau tidak pernah memburukkan parti dan bertindak untuk memastikan parti diperkasakan.

5. Sebahagian besar UMNO Cawangan dalam Pagoh ( 103 cawangan daripada 106 Cawangan ) telah melahirkan rasa kekecewaan terhadap Presiden Parti yang bertindak merosakan parti terutamanya isu 2.6b dan 1MDB. Sebahagian besar menyokong Tan Sri Muhyiddin dan memutuskan Presiden Parti berundur .

6. Tindakan MT memecat YB Tan Sri Muhyiddin telah menimbulkan rasa kecewa dan tidak puashati kepada Ahli UMNO Bahagian Pagoh dan merosakkan perpaduan serta keutuhan yang selama ini menjadi kekuatan UMNO Bahagian Pagoh. Pemecatan ini berlaku di bulan Ramadan dan kita merasai sepatutnya pemimpin mewujudkan perpaduan dikalangan ahli parti.

7. UMNO Bahagian Pagoh merasakan bangga dengan perjuangan YB. Tan Sri Muhyiddin dalam menegakkan kebenaran dan terus istiqamah dalam perjuangannya. 

UMNO Pagoh akan terus berdiri teguh bersama YB. Tan Sri Muhyiddin Bin Hj. Mohd. Yassin dalam perjuangannya dalam menegakkan kebenaran.
Biar apapun berlaku, UMNO Pagoh akan terus padu kerana kami sayang UMNO Johor yang lahir di Johor, malahan di Istana Johor dan suatu ketika dulu telah menyatupadukan orang Melayu Johor.

Berani Kerana Benar

KENYATAAN YB TAN SRI DATO' HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN

Setelah lebih empat dekad saya melalui perit jerih dan suka duka perjuangan di dalam UMNO, semalam Majlis Tertinggi membuat keputusan untuk memecat saya daripada parti. Saya tidak pernah meninggalkan perjuangan parti atau mengkhianati parti. Saya cuma berkata benar kerana itulah prinsip yang saya junjung dalam perjuangan saya. 

Malangnya saya dipecat kerana apa yang saya perkatakan selama ini menyentuh skandal moral dan kewangan paling besar dalam sejarah UMNO dan negara yang melibatkan Perdana Menteri. Sahabat saya Datuk Seri Mukhriz Mahathir juga dipecat dan Datuk Seri Shafie Apdal digantung keahlian. Segala-galanya berlaku hanya kerani kami mengambil langkah berani menegur Perdana Menteri yang sudah jauh tersasar daripada perjuangan UMNO yang asal.

Saya berasa kecewa kerana UMNO yang ada pada hari ini bukan lagi UMNO yang sebenar. Ia telah berubah menjadi sebuah parti yang dikuasai hanya oleh seorang individu yang sanggup melakukan apa sahaja untuk menutup kesalahannya dan menyelamatkan dirinya. Mereka yang melakukan perbuatan jenayah yang merosakkan imej parti dan integriti tidak menerima hukuman yang setimpal. Sebaliknya, mereka yang berjuang untuk menegakkan kebenaran dan keadilan dipecat daripada parti.

Mereka yang menguasai UMNO boleh melakukan apa sahaja terhadap saya, namun saya tidak rela hidup melutut. Bukan prinsip saya untuk tunduk bersekongkol dengan perbuatan jahat seorang pemimpin yang merosakkan bangsa dan negara. 

Keputusan pemecatan saya ini telah pun saya duga dari awal. Maka semalam berakhirlah sejarah panjang perjalanan hidup saya yang penuh liku di dalam UMNO. Sejarah ini akan terus terpahat dalam ingatan saya kerana UMNO telah sekian lama menjadi sebahagian daripada denyut nadi dan darah daging saya. Hakikat ini tidak boleh dinafikan oleh sesiapapun hatta diri saya sendiri. Saya tidak pernah mengkhianati UMNO. Saya hanya menentang pemimpin UMNO yang korup dan menyeleweng.

Namun, jika mereka beranggapan perjuangan saya berkubur di sini, mereka silap. Saya akan terus berjuang selagi hayat dikandung badan. Biarlah mereka memecat saya dan melakukan apa sahaja untuk melunturkan semangat juang saya. Obor perjuangan di dalam jiwa saya akan terus menyala.

Walaupun tindakan terhadap saya daripada penggantungan jawatan sehingga pemecatan saya daripada parti bercanggah dengan proses keadilan dan tidak berperlembagaan, saya tidak akan merayu.

Saya redha dengan ketentuan Allah s.w.t. Saya telah melaksanakan tanggungjawab saya sebagai pemimpin UMNO dan akan tetap terus melaksanakan tanggungjawab saya kepada agama, bangsa dan negara seperti pejuang-pejuang bangsa kita sebelum ini. Bangkitlah bangsa Melayu memperjuangkan nilai-nilai moral dan integriti supaya kita tidak mudah diperkotak-katikkan oleh pemimpin yang rasuah dan tamak haloba. 

Kepada para penyokong, saya tahu anda memahami pendirian saya. Teruskanlah perjuangan menegakkan kebenaran dan membela tanah air tercinta walau di mana sahaja anda berada. InsyaAllah kita akan terus bersama dalam perjuangan suci ini. 

Kepada seluruh rakyat Malaysia, saya yakin anda boleh menilai yang mana benar dan yang mana salah, yang mana baik dan yang mana buruk. Anda pastinya tidak rela membiarkan negara ini diperlakukan sewenang-wenangnya oleh pemimpin yang rakus menyalahgunakan kuasa. Sebagai rakyat, anda berhak untuk membuat perhitungan yang terbaik demi masa depan anda, keluarga dan negara.

Saya menganggap pemecatan saya ini adalah satu lagi dugaan Allah s.w.t terhadap saya dalam bulan Ramadhan yang mulia ini. Saya yakin segala yang berlaku ada hikmahnya. Saya berdoa semoga sentiasa diberikan ketabahan dan kesabaran dalam menghadapi ujian Allah dan segala urusan kita akan dipermudahkan oleh-Nya.

Allah s.w.t berfirman dalam Surah At-Taghabun ayat 11 yang bermaksud:

"Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa seseorang melainkan dengan izin Allah, dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku dengan tenang dan sabar) , dan ingatlah Allah maha mengetahui akan tiap- tiap sesuatu"

Sempena bulan Ramadhan yang mulia dan Syawal yang bakal menjelma, saya menyusun sepuluh jari memohon kemaafan daripada seluruh ahli UMNO sekiranya terdapat sebarang kesilapan yang saya lakukan sepanjang saya berada di dalam parti.

Selamat tinggal UMNO.

Kepada Allah saya berserah.

TAN SRI MUHYIDDIN YASSIN
25 Jun 2016

My take:

No comments: