Tuesday 2 April 2019

“Naratif Malaysia: Melayu dalam Persoalan Nasional” - Tun Daim Zainuddin

'Saya ingin menasihati anda semua supaya jangan mengikut ahli politik secara membuta tuli. Seperti yang telah saya nyatakan di awal ucapan saya, untuk Malaysia berjaya, orang Melayu mesti berjaya. Saya kerap kali mengulangi kata-kata ini iaitu iqra’ – baca untuk kita menimba ilmu dan berfikir secara kritis. Pilihlah jalan yang betul yang akan membawa kita kepada kejayaan.' 
Daim Zainuddin

“Naratif Malaysia: Melayu dalam Persoalan Nasional”


Oleh: Tun Daim Zainuddin

Untuk memahami iklim politik semasa kita pada hari ini, adalah penting untuk kita menoleh ke belakang melihat sejarah. Kusut di hujung, balik ke pangkal.

Sejarah bangsa Melayu bermula jauh sebelum terbentuknya Tanah Melayu. Kita adalah pewaris kepada empayar-empayar agung daripada Langkasuka kepada Srivijaya kepada Majapahit hinggalah ke Melaka. Dan Melaka pula adalah kisah empayar kita yang termasyhur sebagai sebuah pelabuhan yang terulung di dunia. Kejayaannya di peringkat antarabangsa itu akhirnya telah mengundang kuasa Eropah untuk datang menjajah.

Apabila Melaka jatuh ke tangan penjajah Portugis, keturunan Sultan Melaka yang terselamat telah membangunkan sebuah empayar baru di negeri Johor pula. Mereka menguasai bahagian selatan Semenanjung Tanah Melayu yang meliputi wilayah Riau, Anambas, Natuna, Tambelan, Borneo dan Sumatera. Kejayaan empayar baru ini telah dikaitkan dengan kebijakan dan kepintaran pemerintah-pemerintah mereka serta dasar keterbukaan yang mereka amalkan dalam perdagangan antarabangsa.

Kembali kepada sejarah yang lebih baru, cadangan penubuhan Malayan Union oleh British pada tahun 1946 dan juga penentangan yang lahir daripadanya di bawah kepimpinanan UMNO adalah merupakan peristiwa utama yang mencetuskan perubahan penting dalam penyusunan pertubuhan politik orang Melayu.    

Malangnya perpaduan orang Melayu tidak dapat bertahan lama. Kita tidak tahu bagaimana untuk menangani kejayaan. Dan orang Melayu pun mula berpecah. Bila kita berjaya, kita mabuk dengan kejayaan. Bila kita gagal, kita mula mencari kambing hitam dan kemudiannya melakukan amok.

Perjuangan kita menentang Malayan Union dari satu sudut adalah suatu pencapaian kemerdekaan sejati yang pertama kita perolehi apabila penjajah British tunduk kepada tuntutan kita dan membatalkan Malayan Union. Kita menjadi tuan di tanah air kita sendiri.

Tapi suasana politik di masa itu berubah dan ramai daripada orang bukan Melayu mula menganggap bahawa Malaya juga adalah tanah air mereka. Dan mereka menuntut supaya suara mereka turut diambilkira di dalam tanah air baru mereka ini.

Pada tahun 1951, buat pertama kalinya, Dato’ Onn telah cuba untuk menyatukan pelbagai kaum yang ada di Malaya pada ketika itu di bawah satu parti politik. Beliau telah mengajukan supaya keanggotaan UMNO dibuka kepada bukan Melayu. Namun begitu, anggota UMNO pada waktu itu telah menolak cadangan tersebut. Dato’ Onn kemudiannya meninggalkan UMNO.

Walau pun cubaan untuk menyatukan pelbagai kaum di bawah satu parti gagal tetapi pilihanraya tahun 1952 telah menjadi penanda kepada suatu kerjasama politik yang pertama kali diadakan antara Melayu dan bukan Melayu. Ini berlaku apabila UMNO dan MCA bergabung tenaga untuk meraih kemenangan dalam pilihanraya tersebut.

Gabungan antara UMNO dan MCA ini kemudiannya disertai pula oleh MIC untuk membentuk Parti Perikatan. Ini adalah tanda kepada suatu bentuk perpaduan politik antara masyarakat pelbagai kaum di Malaya ketika itu. Gabungan parti-parti yang membentuk Perikatan ini kemudiannya memperolehi kejayaan besar dalam pilihanraya tahun 1955 pula. Selepas daripada itu bermulalah siri perundingan untuk kemerdekaan di mana semua warga Malaya berganding bahu untuk sama-sama membebaskan negara daripada cengkaman penjajahan. Daripada episod sejarah ini kita belajar bahawa kita menjadi lebih kuat bila kita bersama-sama iaitu – apabila semua warga Malaysia bersatu-padu, kita mampu untuk mengatasi apa sahaja cabaran dan halangan yang berada di hadapan kita.

Semua ini berlaku dengan berlatarbelakangkan perang bersenjata yang berterusan melawan pengganas ketika Darurat sedang berlangsung di mana semua kaum berganding bahu berjuang untuk mencapai kemenangan. Kita adalah satu-satunya negara dalam dunia ini yang berjaya menewaskan pengganas.

Kemudian Persekutuan Malaysia dibentuk dan seterusnya berlaku konfrontasi dengan Indonesia. Dan di sepanjang peristiwa konfrontasi tersebut orang Melayu dan bukan Melayu berkerja bersama-sama untuk mencapai matlamat nasional.

Justeru, Malaysia mempunyai sejarah yang kuat dan kaya berhubung dengan usaha membangunkan keharmonian antara-kaum dan kepelbagaian budaya atau multi-kulturalisme sejak daripada awal penubuhannya lagi. Namun begitu kita perlu akui, keadaan di Malaysia masih lagi kompleks dan rumit dengan pekerjaan dan sektor-sektor ekonomi yang terbahagi dan dikenalpasti mengikut garis kaum, ketaksamaan pendapatan antara kaum yang masih ada dan wujudnya sistem pendidikan yang berbeza dan terpisah-pisah.

Tidak dapat dinafikan bahawa Malaysia akan makmur jika sekiranya orang Melayu juga turut makmur. Kita tidak boleh mempunyai 50% daripada penduduk negara berada di bawah kategori kumpulan berpendapatan rendah. Jika ini berlaku, akan terjadilah ketidakstabilan ekonomi yang akan memberi kesan kepada semua orang tanpa mengira kaum atau status ekonomi.

Untuk Malaysia berjaya, orang Melayu mesti turut berjaya. Tapi ini hanya boleh dicapai di dalam konteks nasional di mana Melayu dan bukan Melayu berkerja bersama-sama untuk kebaikan dan kepentingan Malaysia.

Kenapa orang Melayu boleh berkerja dengan begitu rapat bersama orang bukan Melayu daripada zaman sebelum merdeka sehinggalah membawa kepada kemerdekaan dan berlangsung sampai kini di zaman pasca-merdeka? Walau pun ketika kita berhadapan dengan serangan dan pencerobohan daripada negara luar, hampir tiada langsung timbul pertanyaan tentang siapakah yang sepatutnya lebih memiliki Malaysia – orang Melayu atau bukan Melayu. Hakikatnya ialah hanya ketika ahli politik memutuskan untuk menggunakan kaum dan agama sebagai alat politik untuk mendapatkan kuasa, barulah kita terjatuh ke dalam sengketa.  

Seminar ini bertajuk Naratif Malaysia: Melayu Dalam Persoalan Nasional. Pertanyaan saya kepada anda semua ialah: Tidakkah seharusnya kita berbincang hanya tentang naratif nasional? Kenapa perlu kita membahagikan naratif nasional mengikut garis kaum dan agama?

Tapi jika sekiranya niat anda adalah untuk mencari jawapan kepada ketaksamaan ekonomi dan kenapa orang Melayu ketinggalan dari sudut ekonomi, jadi saya sungguh-sungguh berharap agar seminar ini dapat memberikan jawapannya.

Apabila kita bercakap tentang Melayu, kita mesti bercakap tentang Islam. Orang Melayu dan Islam saling terikat kejap antara satu sama lain. Kedua-duanya tidak boleh dibincangkan secara terpisah. Namun begitu, keterikatan antara Melayu dan Islam ini juga telah mendorong kepada ketidakpedulian dan pengabaian terhadap budaya serta warisan dari rantau kita sendiri yang kita tinggalkan apabila kita memilih budaya asing (terutamanya Arabisasi) yang telah mempengaruhi rasa tidak selamat orang Melayu. Sehinggakan sesiapa sahaja yang tidak bercakap seperti mana kita dan semua yang kita tidak persetujui – ianya dianggap sebagai semacam ancaman terhadap Melayu dan Islam.

Kita mesti bertanya kepada diri kita sendiri – adakah ini benar? Kenapa jadi begini? Sejak bila Melayu dan Muslim merasa begitu tidak selamat sekali tentang kedudukan kita di negara ini? Dahulu ketika orang Melayu masih terkebelakang di dalam ekonomi berbanding sekarang dan ketika dulu kita masih lagi ketinggalan dalam pendidikan, kita sudah pun berjaya menewaskan penjajah British dengan menolak cadangan penubuhan Malayan Union. Dulu kita berani.

Kita tahu bagaimana untuk menyusun secara kolektif dan strategik. Kita menggunakan akal kita untuk mengalahkan kuasa penjajah. Kita berjaya memperolehi kemerdekaan tanpa menumpahkan darah. Kita tiada masalah untuk berkerja bersama-sama orang bukan Melayu. Malahan kita turut belajar daripada kaum-kaum lain.

Nampaknya seperti semakin Melayu maju semakin kuat pula rasa tidak selamat kita. Kenapa ini berlaku? Apakah kerana ketika kita tidak dibekalkan dengan ‘tongkat’, maka kita punya maruah dan harga diri, dan ini menjadikan orang Melayu merasakan kedudukan mereka lebih selamat di dalam negara ini?

Kita tidak kekurangan sosok-sosok hero. Negeri Johor sendiri mempunyai sejarah yang kaya dengan pahlawan yang gagah-perkasa, seniman yang tersohor, penyair, ahli sukan, santis, doktor, ahli akademik dan juga ahli perniagaan.

Di Johor ada Dato’ Muhammad Salleh Bin Perang yang merupakan Dato’ Bentara Luar. Beliau adalah orang pertama yang membuat peta Johor dengan tepat tanpa menggunakan teknologi ukur-tanah yang ada pada hari ini. Beliau adalah Ketua Jabatan Ukur dan Tanah Negeri Johor dan peta yang dilukiskan oleh beliau itu digunakan untuk membangunkan negeri Johor. Beliau seorang Melayu tetapi fasih dalam bahasa Cina dan berpengetahuan tentang budaya Cina. Ini membolehkan beliau berkerja rapat dengan orang-orang Cina dalam membangunkan ekonomi Johor.

Di dalam bidang politik sendiri, senarai tokoh-tokoh Johor tidak pernah putus. Tun Hussein Onn, ‘Bapa Perpaduan’ negara adalah berasal daripada Johor. Begitu juga dengan bapa beliau sendiri iaitu Dato’ Onn adalah pengasas UMNO. Bapa kepada Dato’ Onn pula iaitu Dato’ Jaafar Muhammad adalah merupakan Menteri Besar Johor yang pertama dan yang paling lama berkhidmat di dalam kerajaan negeri Johor.

Kedua-dua Timbalan Perdana Menteri Malaysia iaitu Tun Dr. Ismail dan Tun Musa Hitam juga adalah anak Johor. Keluarga Tun Ismail sendiri merupakan keluarga yang cukup terkemuka termasuklah bapa mertua beliau Dato’ Seth Said, yang merupakan Timbalan Menteri Besar Johor dan menjadi sebahagian daripada wakil negara dalam perundingan kemerdekaan dan menandatangani perjanjian kemerdekaan tanpa perkenan Sultan. Tanpa beliau, kita mungkin tidak akan memperolehi kemerdekaan.

Johor juga turut melahirkan Presiden Senat, iaitu Dato’ Abdul Rahman Yasin. Beliau adalah bapa kepada Tun Dr. Ismail. Manakala abang ipar Tun Dr. Ismail pula iaiatu Tan Sri Jeneral Ghazali Seth adalah Ketua Turus Pertahanan Negara dan beliau berkahwin dengan Puan Sri Norziah – kakak kepada Tun Hussein Onn, anak perempuan Dato’ Onn Jaafar.

Tun Dr. Ismail mendapat pendidikan beliau di Sekolah Melayu Bukit Zaharah di Johor Baharu bersama dua lagi tokoh terkemuka iaitu abang beliau sendiri, Dato’ Sulaiman Abdul Rahman dan Tan Sri Ahmad Perang yang kemudiannya menjadi orang Melayu pertama yang menjawat jawatan Pengerusi Keretapi Tanah Melayu (KTM).

Tan Sri Mohamed Noah Bin Omar – Speaker Dewan Rakyat yang pertama – adalah juga daripada Johor. Keluarga beliau juga merupakan sebuah keluarga yang hebat – kedua-dua anak perempuan beliau berkahwin dengan lelaki-lelaki yang kemudiannya menjadi Perdana Menteri negara kita. Tun Rahah, isteri kepada Tun Razak dan Tun Suhaila, isteri kepada Tun Hussein Onn.

Tun Razak mendapat pendidikan beliau di Kolej Raffles bersama seorang lagi anak Johor iaitu Tan Sri Taib Andak, yang mana nama Felda Taib Andak di Kulai itu diambil bersempena dengan nama beliau. Abang beliau pula, Dato’ Rahman Andak pula adalah antara orang yang pertama berkempen untuk kemerdekaan Johor. Beliau menjadi Setiausaha Kerajaan Negeri Johor pada tahun 1984.

Gabenor Bank Negara – Tan Sri Aziz Taha, Tan Sri Jaffar Hussein dan Tan Sri Zeti Aziz – semuanya adalah anak Johor. Profesor Ungku Aziz, bapa kepada Tan Sri Zeti adalah seorang pakar ekonomi ulung negara. Datuk kepada Tan Sri Zeti, Syed Mohammed Alsagoff, pernah menjadi pemilik Pulau Kukup di Johor dan sempat diberikan konsesi untuk mencetak wang beliau sendiri. Dan pada hari ini, kita menggunakan wang kertas yang ditandatangani oleh cucu perempuan beliau.

Jadi, persoalannya kenapa perlu kita merasa tidak selamat sedangkan kita mempunyai legasi kejayaan Melayu seperti yang saya bentangkan di atas?

Sekali lagi saya sebutkan, apakah kerana setelah sekian lama kita diberikan dengan pelbagai bentuk ‘tongkat’, kesan yang kita terima menjadikan orang Melayu lemah, rasa tidak selamat dan yang paling menonjol ialah kekurangan daya tahan? Apakah yang mendorong kepada lahirnya ketidaktahanan dan kurang keyakinan itu? Kelihatannya ketika orang Melayu berhadapan dengan cabaran getir seperti perjuangan menuntut kemerdekaan, ketahanan dan keyakinan kita jauh lebih kuat.

Dan apabila kesenangan, keselesaan serta kualiti hidup kita telah meningkat – keyakinan dan daya tahan kita telah meluntur. Pemerhatian ini memerlukan suatu cerminan-diri yang jujur terhadap diri kita sendiri. Daripada kita meletakkan kesalahan kepada mereka yang dipersepsikan sebagai musuh, adalah lebih untuk kita merenung ke dalam diri dan berusaha untuk memperbaiki diri kita sendiri daripada menyalahkan orang lain di atas segala kelemahan, kemunduran dan keterbelakangan kita. Kita kelihatannya takut terhadap bayang-bayang sendiri.

Pada hari ini, dari setiap dua puluh orang Melayu, seorang daripadanya adalah lepasan ijazah universiti. Walau pun kita sekarang ini mempunyai pendidikan yang lebih tinggi dan peratusan orang Melayu yang berpelajaran juga lebih besar, namun kita masih gagal untuk meyakinkan diri kita sendiri bahawasanya tiada apa yang perlu ditakuti oleh orang Melayu di negara ini. Apakah Melayu berfikiran strategik, kritikal dan logikal? Nampaknya semakin hari semakin ketara bahawa orang Melayu berfikir melalui emosi dan perasaan daripada melalui akal dan otak. Kita mesti menanyakan diri kita sendiri – apakah yang sedang berlaku kepada kita?

Kita telah membiarkan emosi menguasai diri dan mempengaruhi bagaimana kita melihat orang lain. Kita menonton cerita hantu di panggung wayang. Apabila majalah Mastika tidak lagu menulis cerita-cerita hantu, maka tamatlah pengedarannya dan sekarang tiada lagi Mastika di pasaran. Namun begitu, sekarang ini walau pun kita tidak lagi membaca cerita-cerita hantu di Mastika tetapi sebagai gantinya kita melihat pula hantu di setiap ceruk dan sudut.

Daripada menggunakan logik dan fakta, kita sebaliknya lebih suka memilih untuk mendengar retorik perkauman yang dibawa oleh ahli politik yang diragui wibawanya.

Memandangkan pada hari ini saya bercakap di hadapan ahli akademik, saya ingin mengajukan soalan ini kepada anda semua: Apakah peranan yang perlu anda mainkan bagi menyuntik logik dan fakta ke dalam naratif Malaysia? Adakah anda berniat untuk mengikut sahaja arus emosi atau melihat bahawasanya adalah menjadi tanggungjawab akademik anda untuk mempersoalkan naratif yang tidak rasional yang sedang dijolok masuk ke dalam kerongkong orang Melayu?

Adakah anda sebagai orang yang berpelajaran tinggi akan bercakap secara jujur dan berani tentang apa yang berlaku atau adakah anda hanya akan berpura-pura mengatakan bahawa sentimen perkauman yang semakin merebak ini sebagai sesuatu yang wajar terjadi?

Anda yang berada dalam dewan ini semuanya berpendidikan tinggi tapi berapa ramaikah di antara anda yang menerima retorik politik yang tak masuk akal ini yang mengatakan bahawa Melayu di negara ini sedang diancam oleh bukan Melayu? Adakah kedudukan Islam terancam hanya kerana terdapat seorang dua yang tidak cukup sensitif yang membuat pos tentang nabi Muhammad?

Agama tidak mungkin terhina. Hanya manusia yang merasa terhina.Kalau iman kita kuat, kita tidak akan rasa terhina. Malahan, kita ketwa melihat kejahilan dan kebebalan tersebut. Dan sepatutnya perangai yang kita tunjukkan itu adalah suatu cerminan yang terbaik buat agama kita. Hanya dengan itu kita dan agama kita akan memperolehi hormat daripada orang lain.

Negara kita adalah negara yang berbilang kaum dan berbilang agama. Kita telah menunjukkan kemampuan untuk hidup bersama dengan aman dan damai. Kita sensitif kepada jiran tetangga kita dan kita saling hormat-menghormati antara satu sama lain. Inilah cara kita.

Adalah menjadi satu kesalahan untuk menghina sesiapa sahaja, apatah lagi seorang nabi. Menghina dan mengejek-ejek agama adalah suatu tindakan yang bodoh. Tapi negara kita mempunyai undang-undang dan kita perlu menghormati proses undang-undang tersebut. Ramai yang telah lupa Rukun Negara kita. Dokumen yang paling penting adalah Perlembagaan.

Seharusnya tiada seorang pun warga Malaysia membuat komen-komen yang tidak sensitif tentang agama lain dan kaum lain. Tapi apa yang telah terjadi dengan perisytiharan jihad ke atas bukan Muslim baru-baru ini?

Jika sekiranya orang Muslim mahu melakukan jihad, maka jihad yang sepatutnya dibuat itu ialah untuk memperbaiki diri kita bukan sahaja dari sudut kerohanian tetapi juga ekonomi dan akademik serta jihad yang membolehkan kita menyumbang ke arah kemajuan negara kita sendiri.

Kita berbicara tentang naratif Melayu seakan-akan kita sudah hampir-hampir terhalau daripada negara kita sendiri. Terlalu banyak kemarahan dan keberangan yang ditunjukkan apabila bukan Melayu dilantik ke jawatan-jawatan tinggi dalam kerajaan, seolah-olah ini adalah suatu perkara baru.

Kenapa tiada kemarahan yang sama ditunjukkan apabila kita berhadapan dengan hakikat rasuah, korupsi dan kleptokrasi yang paling buruk yang melibatkan pemimpin-pemimpin Melayu peringkat tertinggi? Kita langsung tiada rasa malu apabila berita tersebut tersiar ke seluruh dunia. Sebaliknya kita membalas dengan “Malu apa?” Kalau tak malu, apa jadi kepada iman kita?

Orang Melayu boleh terus menggunakan jalan emosi dan tidak rasional ini atas tanggungan risiko kita sendiri, atau pun kita boleh berhenti sejenak, berfikir, membuat cerminan dan mengajukan perubahan.

Tiada siapa pun yang memaksa kita untuk menjadi emosi atau tidak rasional. Kita sendiri yang memilih jalan tersebut kerana kita sendiri jugalah yang membenarkan diri kita dipengaruhi oleh ahli politik yang matlamat utamanya hanyalah untuk mendapatkan kuasa semula tanpa mempertimbangkan harga yang perlu dibayar – dan sering kali pula harganya kitalah yang harus menanggungnya.

Jadi, pilihan adalah di tangan kita – apakah kita hendak duduk macam katak di bawah tempurung? Atau kita berubah dan menjadi kuasa yang dihormati dalam konteks agenda nasional Malaysia Baru? Atau kita masih tetap mahu menggunakan jalan yang sama yang kita lalui sekarang ini dengan mengangkat naratif sempit yang hanya memfokuskan kepada diri kita semata-mata? Atau apakah kita akan membuka jalan yang benar-benar nasional iaitu jalan naratif Malaysia di mana kita menyertainya secara aktif dan memainkan peranan penting di dalamnya?

Agenda nasional bukan agenda Melayu atau agenda bukan Melayu. Agenda nasional adalah agenda Malaysia yang mengambil kira kepentingan seluruh warga Malaysia. Agenda yang melawan kemiskinan dan ketaksamaan tanpa diskriminasi dan menghormati Perlembagaan.

Saya berasa gembira kerana siri seminar ini menyasarkan fokus perbincangan kepada empat sektor iaitu politik, ekonomi, budaya dan agama. Ayuh kita betulkan semua ini. Dan untuk kita membetulkan semua ini, sistem pendidikan kita mestilah berubah. Jangan kita memperlakukan pendidikan seperti mana politik bola yang disepak ke sana ke sini. Sistem pendidikan mestilah betul.

Masa depan kita, masa depan Malaysia akan bergantung kepada bentuk sistem pendidikan yang betul yang kita wariskan kepada anak cucu kita yang akan menjadikan mereka manusia yang berkeyakinan diri dalam menghadapi yang terbaik di dalam dunia.

Pastikan sistem pendidikan kita betul, dan politik serta ekonomi akan turut mengikut menjadi betul. Akal tanpa emosi akan menentukan masa depan kita dan masa depan Malaysia.

Dedahkan anak-anak kita kepada dunia dan mereka akan mahu menjadi cemerlang dan mereka akan melindungi yang terbaik daripada budaya kita.

Tidak ada salah atau silap dengan Islam. Islam bukan diancam, tidak digugat. Islam adalah agama yang paling pesat berkembang di dalam dunia ini.

Saya ingin menasihati anda semua supaya jangan mengikut ahli politik secara membuta tuli. Seperti yang telah saya nyatakan di awal ucapan saya, untuk Malaysia berjaya, orang Melayu mesti berjaya. Saya kerap kali mengulangi kata-kata ini iaitu iqra’ – baca untuk kita menimba ilmu dan berfikir secara kritis. Pilihlah jalan yang betul yang akan membawa kita kepada kejayaan. 

Masa adalah sangat penting dan kita cukup pandai membuang masa. Kita akan ditewaskan oleh masa. Ayuh kita katakan kepada diri kita sendiri bahawa mulai dari saat ini kita tidak akan mengulangi kesilapan lampau. Kita akan berikan pendidikan yang terbaik kepada anak cucu kita agar mereka boleh bersaing dan berjaya. Ayuh kita tinggalkan kegagalan dan ketidakyakinan kita di belakang dan mulakan masa depan kita sekarang.

Tinggalkan dewan ini nantinya dengan penuh keyakinan dan rasa percaya dengan diri kita sendiri. Beritahu anak-cucu kita bahawa kita akan bersaing dan kita akan berjaya.

Teks ucaptama ini dibentangkan pertama kali di UTM Skudai pada 19 Mac 2019 dalam majlis Perasmian Siri Seminar “Naratif Malaysia: Melayu dalam Persoalan Nasional” yang dianjurkan oleh IKMAS, UKM.

No comments: