Found a good article as reposted from blogger Pak Hussein:
Mohammad Fakhrurrazi : Siapa ‘Tunggang’ Orang Melayu?
Mohammad Fakhrurrazi Mohd Rashid adalah pelajar tahun akhir, Kajian Politik dan Pemerintahan UNIMAS.
Orang Melayu terutama generasi baru harus bersikap skeptikal dan banyak bertanya...jangan dok terima bulat-bulat apa orang cakap lebih-lebih lagi cakap orang politik.
Mohammad Fakhrurrazi : Siapa ‘Tunggang’ Orang Melayu?
‘Jangan jadi kuda tunggangan DAP’. Itulah ungkapan yang sering digunakan oleh pemerintah Melayu kepada rakyatnya. Malah mereka mengatakan bahawa Melayu akan lebih bangsat sekiranya orang Melayu tidak menyokong UMNO. Hakikatnya, sudah berapa lama merdeka sekali pun, sudah tukar Perdana Menteri sekalipun, kita masih mendengar keluhan orang Melayu yang kecewa dengan taraf hidup mereka sendiri.
Persoalannya, siapa ‘tunggang’ orang Melayu sebenarnya?
Pemikiran Orang Melayu
Orang Melayu kebanyakannya terkenal dengan sikap ketaatan kepada pemimpin. Tidak kira pemimpin itu melakukan kesalahan, sukar bagi masyarakat Melayu untuk mengkritik atau melawan pemerintahnya. Orang Melayu sejak turun-temurun lagi telah menerima sifat kehambaan itu sendiri.
W.E Maxwell telah mengkaji dan mengenalpasti beberapa peribahasa Melayu yang membuktikan ‘kehambaan’ orang Melayu itu sendiri. Contohnya, peribahasa ‘anak-anak ikan kecil menjadi makanan ikan besar’ yang bermaksud orang bawahan sentiasa menjadi hamba orang atasan. ‘Siapapun yang menjadi raja, tanganku ke dahi juga’ bermaksud walaupun pemimpin bertukar ganti, orang Melayu tetap taat kepada tuannya.
Pemikiran ini merupakan ‘saka’ kepada generasi Melayu hingga kini. Politikus elit Melayu juga menjadikan pemikiran ‘taat’ orang Melayu untuk mencengkam kekuasaan mereka. Orang Melayu tidak mempunyai jalan untuk mengubah nasib dan bergantung penuh kepada kerajaan bagi mencari makan. Oleh sebab pemikiran seperti ini, orang Melayu tidak pernah percaya diri mereka itu mempunyai hak dan kuasa. Akhirnya, pemimpin terus meninggi dan rakyat Melayu menjadi hamba. Pemikiran ini telah memerangkapkan orang Melayu untuk maju ke hadapan dalam pelbagai aspek hingga hari ini.
Kesengsaraan Orang Melayu dalam Politik
Dalam politik Melayu, golongan elit dan bangsawan sebenarnya untung. Pemimpin Melayu, khususnya UMNO, mudah mengekalkan kuasa dengan pemikiran ‘taat’ orang Melayu. Tahap kepercayaan ini sehingga setiap keputusan diletakkan hak dan kepercayaan sepenuhnya kepada pemerintah untuk melaksanakannya. Budaya pemikiran seperti ini telah membelakangkan lagi orang Melayu dalam berpolitik.
Sistem menerima diri sebagai ‘hamba’ itu sendiri telah membentuk sebuah masyarakat yang tidak produktif. Walaupun mereka mempunyai idea dan kuat bekerja sekali pun dalam politik, mereka tetap akan kekal di bawah. Insan yang pandai ‘mengipas’ elit sahaja mempunyai peluang, itu pun sekerat.
Akhirnya secara mudah, orang Melayu dituduh oleh pemimpin sebagai Melayu mudah lupa, Melayu malas dan bangsat. Walhal, pemimpin Melayu itu sendiri telah menindas orang Melayu sehinggakan mereka malas untuk bekerja kerana akhirnya mereka tidak memperoleh apa-apa, tetapi orang atasan yang untung. Mereka tidak mempunyai pilihan lain selain taat kepada pemerintah untuk terus hidup. Itulah yang berlaku dalam UMNO hari ini. Masa berubah, tetapi konteksnya masih sama.
Kesengsaraan Orang Melayu dalam Ekonomi
Ekonomi merupakan aspek utama yang diperjuangkan oleh Melayu sejak dahulu lagi. Daripada Dasar Ekonomi Baru (DEB) hingga Model Ekonomi Baru, ekonomi masih menjadi isu kritikal dalam komuniti Melayu. Bebanan ekonomi ini tidak dirasai oleh golongan pembesar, elit dan kapitalis Melayu yang menikmati hasil yang berlipat kali ganda dengan hasil tender dan projek yang ada.
Syed Hussein Alatas pernah mengkritik DEB kerana dasar ini menghasilkan golongan kapitalis Melayu kerana perpindahan aset negara diberikan kepada golongan Melayu ‘tertentu’ untuk memastikan penglibatan 30 peratus orang Melayu dalam ekonomi. Untungnya pada kelompok ‘kecil’ yang kaya, bukan rakyat biasa.
Dasar yang ada sebenarnya hanya menguntungkan golongan elit Melayu dan bukan rakyat biasa. Mereka kini terbeban dengan kos kehidupan yang semakin membimbangkan. Jika dahulu mereka terpaksa memberikan hasil tanaman kepada pembesar sebagai cukai perlindungan, kini mereka terbeban dengan pelbagai cukai yang menelan duit kocek sendiri. Kalau dulu mereka mempunyai tanah dan rumah, tetapi kini dua-dua perkara ini lesap dari pandangan.
Kesempitan ini memaksa mereka bergantung kepada pemimpin politik untuk mendapatkan kedudukan dan pendapatan dengan jalan yang lebih mudah. Ini berlaku dalam kalangan kontraktor kelas F, yang terpaksa membayar ribuan ringgit semata-mata untuk mendapatkan tender kerajaan. Lebih mudah lagi sekiranya mereka membantu ahli politik ‘berkempen’ untuk partinya bagi mendapatkan projek. Tetapi, keuntungan kontraktor ini hanya beberapa kerat sahaja. Lain semunya dikaut oleh ahli politik Melayu.
Siapa ‘Tunggang’ Orang Melayu?
Orang Melayu akan mula sedar sekiranya mereka tidak mendapat impak yang efektif dalam pembangunan negara. Hasil keuntungan ekonomi Malaysia hanya mengenyangkan perut pemimpin dan golongan elit Melayu. Pemimpin Melayu itu sendiri telah menunggang orang Melayu ke jalan yang gelap selama 58 tahun. Walau pun orang Melayu mempunyai hak keistimewaan dalam perlembagaan, mempunyai jumlah majoriti, dan menjadi Perdana Menteri, tetapi orang Melayu masih gagal membangun dalam sudut ekonomi dan politik. Mengapa perkara ini boleh terjadi?
Lebih menghairankan lagi apabila orang Melayu masih menyalahkan pihak lain seperti etnik Cina dan pembangkang dalam kemunduran mereka sendiri. Mereka tidak pernah menyalahkan pemimpin Melayu yang secara terang-terang memakan keuntungan dan memundurkan rakyat Melayu sendiri. Ini semua hasil daripada ‘saka’ warisan dan pemikiran yang ditanam oleh pemimpin Melayu demi mempertahankan kuasa serta kekayaan mereka.
Hakikatnya, orang Melayu sukar untuk berganjak mengubah nasib mereka kerana masih takut akan perubahan kepada bangsanya sendiri. Perubahan minda ini akan mengambil masa 100 tahun. Selagi ada lagi pak menteri UMNO dan keturunan Melayu ‘tua’ yang menanam pemikiran ini, selagi itu ia akan kekal bermasalah kepada generasi akan datang.
Persoalannya, Adakah orang Melayu masih larat ‘ditunggang’ UMNO lagi?
Mohammad Fakhrurrazi Mohd Rashid adalah pelajar tahun akhir, Kajian Politik dan Pemerintahan UNIMAS.
Orang Melayu terutama generasi baru harus bersikap skeptikal dan banyak bertanya...jangan dok terima bulat-bulat apa orang cakap lebih-lebih lagi cakap orang politik.
No comments:
Post a Comment